Datul Rozabil Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Undang-undang di Malaysia yang merupakan sebuah negara demokratik sepatutnya adil untuk semua, bukan dilihat berat sebelah mengikut mana-mana pihak.

Ini kerana, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, apabila keadilan dipilih-pilih, kepercayaan terhadap undang-undang akan mula runtuh.

Tegasnya, tiada ruang untuk dwistandard dalam masyarakat yang menghargai keharmonian antara kaum dan agama.

“Saya berharap perkara ini dipandang serius dan pihak berkuasa harus tampil menjelaskan kenapa perkara ini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada perbezaan layanan yang diterima dua aktivis iaitu Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy ketika masing-masing dihadapkan di mahkamah berbeza pagi tadi.

Zamri Vinoth dibawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan tangan bergari dan diiringi kawalan polis yang ketat sebelum prosiding bermula.

Namun, Arun selain tidak bergari, tiba di pekarangan bangunan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang dengan ditemani Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.

Sementara itu, Rozabil turut mempersoalkan tujuan Kulasegaran mengiringi Arun ke mahkamah yang disifatkan bertentangan dengan prinsip without fear or favour terhadap mana-mana tertuduh.

Sedangkan, ujarnya, kehadiran Kulasegaran yang merupakan seorang Timbalan Menteri yang mengurus portfolio undang-undang boleh ditafsirkan sebagai cenderung memihak kepada tertuduh.

“Negara ini mengamalkan perpisahan kuasa antara Kabinet, perundangan dan kehakiman yang jelas.

“Maka pemisahan kuasa ini harus jelas dan tegas dilaksanakan agar keadilan tidak mudah terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast