Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hadir ke Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025) di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Kepulangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepada parti itu berpotensi mencetus semula `ghairah’ terhadap UMNO, khususnya dalam segmen anak muda.

Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim turut berpandangan kemasukan semula Khairy mampu memberi nilai tambah yang bermakna kepada UMNO.

Ini kerana tambah Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT berkenaan, dalam tinjauan di lapangan mutakhir ini khususnya dalam segmen pengundi muda Melayu, Khairy merupakan antara sosok yang popular.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

“Populariti beliau rentas segmen, termasuk anak-anak muda non-partisan.

“Bahkan ramai juga menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri pada masa hadapan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Kelmarin, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau secara rasmi menyerahkan surat rayuan untuk menyertai semula UMNO kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Khairy, beliau tidak meletak sebarang syarat, hajat peribadi atau permintaan untuk kembali ke parti itu, sebaliknya meminta diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa, iaitu simbolik tanpa sebarang jawatan.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dipecat daripada parti itu pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat menerusi inisiatif Rumah Bangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast