Wan Sapaat menerima sijil penghargaan daripada JBPM Johor di Ibu Pejabat JBPM Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang nelayan yang menyelamatkan mangsa lemas masih tidak dapat melupakan detik kejadian tersebut yang berlaku di Pantai Tanjong Buloh, Sedili Kecil, Kota Tinggi, bulan lalu.

Wan Sapaat Sa’yon, 39, berkata, ketika kejadian, dia berada di jeti sebelum dihubungi sepupunya yang memaklumkan terdapat kes lemas membabitkan seorang remaja dan dua kanak-kanak di lokasi itu.

“Sebaik sahaja saya dengar ada mangsa lemas, saya tak fikir panjang lagi dan terus bertindak pantas mengambil bekalan minyak diesel dari bot lain untuk dituang ke dalam tangki bot sebelum bergerak ke Pantai Tanjong Buloh.

“Saya masih ingat dengan jelas situasi ketika itu, laut amat bergelora dengan pukulan ombak besar menyukarkan pergerakan bot saya yang mengambil masa hampir setengah jam untuk tiba ke lokasi.

“Apabila sampai di kawasan pantai itu, saya terdengar jeritan remaja tersebut yang meminta tolong namun saya tidak dapat untuk pergi dekat dengannya.

“Saya pun mencampak tali ke arah mangsa tersebut, sebaik sahaja dia memegang tali itu, saya terus menariknya untuk menaiki bot. Sebaik sahaja pulang ke jeti, bot saya sudah kehabisan minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia (JBPM) Negeri Johor di Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor, di sini hari ini.

Penyerahan sijil penghargaan itu disempurnakan oleh Pengarahnya, Siti Rohani Nadir atas segala jasa dan sumbangan yang diberikan.

Pada 17 Februari lalu, portal ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Pantai Tanjong Buloh, Sedili Kecil.

Komander Operasir dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Hashim Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.17 petang memaklumkan kejadian tersebut membabitkan tiga mangsa iaitu Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar, 16, serta Arman Hanif dan Putra Aniq Fairuz Mohd. Faizul yang berusia 11 tahun.

“Arman Hanif terselamat manakala Mohamad Soleh telah dijumpai dan diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurut Wan Sapaat, kejadian itu menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi nelayan dan dia merasa bangga dengan keputusan yang diambilnya ketika itu.

“Walaupun saya tidak mengenali mangsa, saya cuma fikir untuk selamatkan nyawanya sahaja. Jika saya lambat sedikit bertindak, mungkin keadaan akan berbeza,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast