JOHOR BAHRU – Kegiatan seorang pengedar di sekitar daerah ini menjadikan kenderaan pelbagai guna (MPV) sebagai tempat simpanan dadah terbongkar selepas dia diberkas Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan pukul 7.40 petang di daerah ini sebelum polis dipandu arah ke sebuah rumah dipercayai milik bapanya di Taman Mount Austin.
Menurutnya, polis kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas kereta jenis MPV Perodua Alza berwarna biru yang diparkir di hadapan rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 21 bungkusan yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 20,228 gram atau dianggarkan bernilai RM1.01 juta.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu milik seorang lelaki di Sungai Petani, Kedah, yang mana ia sedang diburu institusi kewangan sebelum diserahkan kepada suspek untuk disambung bayar, namun disalah gunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Katanya, selain menyita MPV itu, polis turut merampas wang tunai RM530 daripada suspek yang menyasarkan penagih dadah di pusat-pusat hiburan.
Menurutnya, dadah yang dirampas itu jika terlepas ke pasaran boleh digunakan lebih 101,140 penagih.
Jelasnya, hasil siasatan dan risikan mendapati aktiviti pengedaran sindiket berkenaan sudah aktif sejak Disember lalu.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan mendapati dia mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan termasuk mengesan beberapa individu lagi yang disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah itu dan suspek ditahan reman sehingga Khamis ini. – MalaysiaGazette
















