SEGAMAT – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di jalan menghala ke Pemanis, Sekijang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 4.40 petang melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan lori Isuzu.
“Dalam kejadian itu penunggang terbabit yang berusia 50-an mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Pemanis yang hadir di lokasi kejadian.
“Pihak polis memohon saksi awam yang melihat kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Adzrull Hisham Nakmat@Ahmad menerusi talian 07-9325811 untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes masih disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















