JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tsee menafikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) Johor tidak membantu pimpinan UMNO di kawasan itu dalam soal peruntukan.
Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak benar kerana perkara melibatkan peruntukan perlu dilakukan mengikut prosedur yang sudah ditetapkan.
“Mungkin UMNO Johor mudah lupa, atau sengaja tidak mahu faham. Wakil rakyat PH termasuk saya, memang tidak akan meluluskan peruntukan kepada mana-mana parti politik.
“Tetapi itu sama sekali tidak bermakna kami menolak untuk membantu rakyat. Dalam Parlimen Tebrau sendiri, peruntukan saya disalurkan kepada masyarakat melalui saluran yang sah seperti surau dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Ini termasuk di kampung-kampung yang ketua kampungnya dan pengerusi surau daripada UMNO,” katanya dalam kenyataan.
Malah katanya, Kerajaan Persekutuan hari ini terus menyalurkan pelbagai bantuan dan pembangunan ke kampung-kampung Melayu melalui inisiatif seperti Sejati Madani dan Kampung Angkat Madani.
Jelasnya, di bawah Parlimen Tebrau sebagai contoh, Kampung Maju Jaya menerima RM1.2 juta peruntukan pusat tahun lalu yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan JPKK.
“Maka amat mustahil Setiausaha UMNO Johor yang juga Ketua Bahagian UMNO Tebrau tidak tahu perkara ini.
“Dalam masa sama, kalau benar semangat Kerajaan Perpaduan mahu dihormati, persoalan yang wajar dijawab ialah mengapa PH tidak pernah diajak menyertai Kerajaan Negeri Johor, selaras dengan semangat kerjasama di peringkat Persekutuan,” soalnya.
Ujarnya, jika Melaka boleh mengambil pendekatan lebih terbuka dan selepas pilihan raya negeri (PRN) 2023 di Selangor juga wujud tawaran jawatan kepada wakil UMNO, mengapa Johor terus bersikap dingin terhadap PH?
Tegasnya, itu merupakan persoalan politik yang munasabah dan wajar dijelaskan.
“Jadi janganlah cuba gambarkan PH sebagai pihak yang memusuhi Barisan Nasional (BN) di Johor. Hakikatnya, PH tidak pernah melihat mereka sebagai musuh,” katanya lagi.
Sehingga hari ini katanya, BN Johor sendiri belum benar-benar menunjukkan bahawa mereka melihat PH sebagai rakan.
“Kalau mahu bercakap soal kerjasama, biarlah ikhlas dan berasaskan realiti, bukan sekadar retorik menjelang pilihan raya,” katanya.- MalaysiaGazette
















