Nor Arfah ketika memberikan bantuan Program Jalinan Syawal di Rumah Anak-anak Yatim Shafar di Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 60 penerima bantuan Program Jalinan Syawal yang dihulurkan Hospital Pakar Bandar Dato’ Onn bagi membantu golongan kurang bernasib baik sekitar daerah ini.

Program berkenaan diadakan di dua lokasi dalam menyemarakkan semangat toleransi dan kasih sayang dengan menyantuni para penerima yang akan menyambut Syawal.

Penyerahan sumbangan tersebut melibatkan 55 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dari Pertubuhan Kebajikan dan Sokongan Orang Kurang Upaya Johor Bahru serta 20 anak yatim perempuan daripada Rumah Anak-anak Yatim Shafar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Arfah Arshad berkata, penganjuran program itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam memperkukuh semangat kebersamaan dan membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam menghayati keindahan bulan Syawal tidak lama lagi.

“Jalinan Syawal merupakan kerjasama antara semua pihak di hospital kami. Pada hari ini, kita dapat melihat sumbangan berupa barangan keperluan makanan disumbangkan sendiri oleh staf-staf kami menerusi program Satu Staf Satu Barang.

“Selain itu, para doktor pakar kami, menerusi Tabung Kebajikan Konsultan pula membelanjakan kira-kira RM12,000 bagi membantu memberikan sumbangan berupa barangan keperluan elektrik dan wang ringgit kepada para penerima,” katanya ketika ditemui di Rumah Anak-anak Yatim Shafar di sini, hari ini.

Turut hadir Pakar Bedah Neuro dan Tulang Belakang Bandar Dato’ Onn Specialist Hospital, Dr Risdhawati Hassan dan Ketua Pegawai Perubatan Bandar Dato’ Onn Specialist Hospital, Dr Aidilnurul Fareena Ishak.

Dalam pada itu, Arfah berkata, program-program sebelum ini yang pernah dilaksanakan Hospital Pakar Bandar Dato’ Onn menerusi Tabung Kabajikan Konsultan adalah bantuan Kembali ke Sekolah dan Program Sekolah Angkat melibatkan beberapa sekolah di sekitar Johor Bahru.

Sementara itu, wakil Tabung Kebajikan Konsultan Hospital Pakar Bandar Dato’ Onn, Dr Risdhawati berkata, inisiatif itu juga merupakan sebahagian usaha dalam memberi motivasi kepada golongan kurang bernasib baik khususnya anak yatim agar lebih bersemangat menimba pelajaran sekali gus berjaya pada masa depan.

“Dalam program seperti ini, kita turut amat menggalakkan penglibatan tenaga profesional seperti doktor. Ia adalah bagi memberi suntikan semangat kepada anak-anak ini untuk rajin dan terus berusaha dan mencapai kejayaan di masa hadapan.

“Kita mahu bantuan diberikan ini bukan hanya sekadar wang ringgit sahaja, malah sokongan moral dan nasihat yang kuat untuk melahirkan generasi akan datang yang lebih baik. Disebabkan itu, setiap kali musim perayaan, kita akan cuba membantu mana-mana rumah kebajikan berhampiran,” katanya.

Penjaga rumah anak yatim tersebut, Aminah Harun berkata, pihaknya bersyukur dengan bantuan tersebut yang meringankan beban.

“Sekiranya ada bantuan berlebihan kita sumbang pula ke madrasah, orang susah dan pihak yang memerlukan untuk sama-sama berkongsi rezeki,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast