KUALA LUMPUR – Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memulakan Jelajah Bersekutu Malaysia ke semua negeri bagi bertemu pimpinan parti itu di setiap peringkat.
Pemangku Ketuanya, Datuk R. Sri Sanjeevan berkata, pendekatan itu bertujuan mendengar secara langsung pandangan akar umbi, memahami realiti setempat serta merangka strategi yang lebih efektif dan berpaksikan rakyat.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, sayap Bersekutu akan terus memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan parti dengan masyarakat berbilang kaum, memperkukuh sokongan, menyatukan kekuatan dan memastikan suara rakyat terus dibela.
“Kesetiaan kami kekal utuh di bawah kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang konsisten mempertahankan prinsip, integriti dan perjuangan rakyat.
“Kepada pihak yang masih meragui, kami tegaskan bahawa sayap Bersekutu akan bangkit dengan lebih tersusun, lebih kuat dan lebih bersedia.
“Perjuangan ini belum selesai. Kebangkitan ini baru bermula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, menurut Sri Sanjeevan, beliau hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama sayap Bersekutu selaku pemangku Ketua dengan fokus utama memperkukuh struktur organisasi serta menyusun hala tuju yang lebih tersusun dan strategik.
Menurutnya, sayap Bersekutu bukanlah asing dengan pelbagai cabaran, tekanan dan tohmahan, malah ada pihak yang cuba menggambarkan seolah-olah sayap itu telah terbubar dan terkubur.
Hakikatnya, ujar beliau, sayap Bersekutu masih teguh berdiri, malah kini bangkit dengan semangat, kesatuan dan keazaman yang lebih kuat.
“Ini bukan penamat tapi ini adalah permulaan kepada satu kebangkitan,” katanya.
Tambah beliau, sebagai langkah memperkukuh organisasi di peringkat negeri, sayap Bersekutu hari ini turut membuat beberapa pelantikan penting antaranya bagi jawatan Penolong Setiausaha yang kini disandang Dr Richard Ng dan Tan Sung Siong (Penolong Bendahari).
Selain itu, katanya, empat negeri turut menerima Ketua Bersekutu Bersatu baharu iaitu Datuk Goh Gaik Meng (Selangor); Datuk Chia Lian Chye (Melaka); Datuk V. Saravana Kumar (Negeri Sembilan) dan Tan Meng Loon (Johor). – MalaysiaGazette














