Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyeru setiap rakyat bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk berhati-hati dalam berbelanja, bak kata pepatah, `sediakan payung sebelum hujan’.

Menerusi kenyataan Istana Alam Shah, Sultan Selangor bertitah, ia ke arah mendepani sebarang ketidaktentuan khususnya impak kepada ekonomi susulan krisis global.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda mengambil maklum tentang perkembangan semasa di peringkat global khususnya konflik dan peperangan yang berlaku di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia Barat yang memberi kesan besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. – Foto: FB Selangor Royal Office.

“Kita seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, namun kita tidak boleh leka dan lalai.

“Beta mahu umat Islam perlu terus memperkukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan, serta mengelakkan sebarang pertelingkahan dan perbalahan sesama sendiri.

“Jadikan apa yang berlaku di luar sana sebagai pedoman dan pengajaran.

“Beta berharap seluruh rakyat jelata daripada peringkat pemimpin, ahli politik sehinggalah kepada rakyat biasa, memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan memakmurkan negara,” titah baginda seperti dikongsikan menerusi laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Terdahulu, menerusi titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 1447H itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnianya hari raya dapat disambut dalam suasana yang aman dan sentosa di Selangor.

Titah baginda, setelah sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan, tibalah Syawal yang diraikan dengan penuh rasa syukur, kegembiraan serta semangat ukhuwah.

“Akhir kata, Beta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya.

“Semoga sambutan Aidilfitri ini membawa keberkatan, kebahagiaan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” titah baginda. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast