KUALA LUMPUR – Nilai transaksi sektor hartanah Malaysia pada 2025 yang mencatatkan rekod tertinggi melebihi RM240 bilion dalam tempoh sedekad adalah cerminan kepada keyakinan pelabur serta kekuatan asas ekonomi negara di bawah pentadbiran kerajaan Madani, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Nga Kor Ming berkata, Laporan Pasaran Harta 2025 menunjukkan jumlah nilai transaksi telah menokok sebanyak 4.1 peratus kepada RM241.87 bilion berbanding tahun 2024 dan melibatkan sebanyak 416,413 transaksi.
Subsektor bangunan kediaman pula mencatat pertumbuhan 5.9 peratus manakala Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) meningkat 2.6 peratus, menandakan pasaran perumahan kekal stabil dan berdaya tahan.
“Sektor hartanah adalah antara pemacu utama ekonomi negara kerana ia memberi impak kepada hampir 200 industri termasuk pembinaan, kewangan, bahan binaan dan perkhidmatan profesional.
“Pertumbuhan ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap perumahan di Malaysia terus kukuh dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi meningkatkan kualiti dan daya saing sektor hartanah negara, Kor Ming menegaskan bahawa KPKT sedang aktif melaksanakan agenda Reformasi Perumahan Madani.
Jelas beliau, Reformasi Perumahan itu memberi tumpuan kepada memperkukuh tadbir urus sektor perumahan bagi mencapai sifar projek sakit menjelang tahun 2030.
Ia juga bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki rumah yang selamat dan berdaya huni.
Katanya, antara langkah reformasi yang telah diperkenalkan oleh KPKT termasuk memperkukuh mekanisme audit Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) bagi memastikan setiap sen yang dibayar oleh pembeli digunakan sepenuhnya untuk projek tersebut.
Selain itu, sistem HIMS juga diperkukuh bagi memantau kemajuan projek, aliran kewangan dan status lesen pemaju secara masa nyata dan dalam masa sama memperkukuh sistem TEDUH untuk membolehkan bakal pembeli membuat aduan sekiranya terdapat ketidakpatuhan oleh pemaju.
KPKT juga menggubal Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) bagi memperluaskan skop kawal selia sedia ada termasuk unit residensi di atas tanah komersial dan melaksanakan e-SPA untuk mengelakkan sebarang manipulasi dokumen atau kelewatan tidak munasabah.
Tambah beliau, KPKT akan terus memastikan sektor perumahan negara bukan sahaja berkembang dari segi nilai transaksi, tetapi juga meningkat dari segi kualiti pembangunan, kecekapan sistem serta kualiti hidup rakyat.
“Kerajaan MADANI terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan akses rakyat kepada perumahan, sekali gus menyokong perkembangan mampan sektor hartanah,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette















