BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja taman asuhan kanak-kanak (taska) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia empat bulan pada 9 Mac lalu.
Tertuduh, Nur Farhana Fazmar Abdullah, 22, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan wanita itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang bayi kepada Ummu Habibah Wahab, 29 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 Mac lalu, antara jam 1 hingga 4 pagi di Taska Pintar Hospital Seberang Jaya di sini.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan susulan pendakwaan terhadap tertuduh merupakan satu kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Kes akan disebut semula pada 23 Jun depan bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat.
Sementara itu, seorang lagi wanita berusia 22 tahun yang sebelum ini ditahan bersama tertuduh bagi membantu siasatan kematian bayi berkenaan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 di mahkamah sama.
Media semalam melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan punca kematian bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez adalah akibat lemas.
Ia berdasarkan pemeriksaan awal doktor setelah proses bedah siasat dijalankan terhadap mangsa di hospital berkenaan, baru-baru ini.
Pada 9 Mac lalu, Hayl Haarith ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sama jam 4.20 pagi.
Susulan kejadian itu, dua pekerja taska ditahan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















