Gambar hiasan

KADAR inflasi Malaysia pada Februari hanyalah 1.4% tahun ke tahun, menurut data Indeks Harga Pengguna (IHP) terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Di atas kertas, angka ini kelihatan melegakan.

Ia memberi gambaran bahawa tekanan harga berada dalam kawalan, malah lebih rendah berbanding beberapa negara jiran. Namun, jika kita melihat realiti di pam diesel di Semenanjung Malaysia minggu ini, ceritanya jauh berbeza.

Sejak 26 Februari, harga runcit diesel telah meningkat daripada RM3.04 seliter kepada RM4.72 seliter. Ini menunjukkan kenaikan RM1.68 atau kira-kira 55% dalam tempoh kurang sebulan.

Jika dilihat pada pergerakan terbaru sahaja, lonjakan ini lebih ketara: kenaikan 80 sen dalam tempoh seminggu, daripada RM3.92 kepada RM4.72.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba memberikan keyakinan melalui hantaran LinkedIn pada 18 Mac, dengan menyatakan bahawa “kita akan mengharungi badai ini bersama.” Namun keesokan harinya, harga diesel melonjak RM4.72 seliter, dan kenaikan ini berlaku beberapa hari sebelum Aidilfitri.

Jika kita lihat reaksi rakyat menerusi hantaran Facebook di akaun Kementerian Kewangan semalam berkenaan Pelarasan Harga Runcit Petroleum, menunjukkan bahawa rakyat mula risau dengan kenaikan harga barangan.

Bagi kebanyakan isi rumah, diesel mungkin tidak kelihatan signifikan. Mereka tidak mengisi diesel ke dalam Myvi atau Axia. Namun, diesel adalah nadi kepada sistem logistik dan rantaian bekalan negara — lori, trak rantaian sejuk, bas, serta jentera pertanian.

Kenaikan 55% dalam tempoh beberapa minggu tidak akan kekal tersembunyi lama, terutamanya apabila ia berlaku serentak dengan musim puncak perjalanan dan perbelanjaan Aidilfitri dari 21 hingga 25 Mac. Kesannya mungkin akan muncul dalam bentuk caj pengangkutan lebih tinggi, surcaj barangan, dan harga menu yang disemak semula selepas Raya.

Jadi, adakah harga diesel akan terus meningkat? Tiada penganalisis boleh memberikan jawapan.

Dari sudut dasar, kerajaan mempunyai hujah yang kukuh. Petrol subsidi RON95 kekal pada RM1.99 seliter. Pada masa sama, Malaysia tidak dapat mengelak sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak global, terutama apabila konflik di Timur Tengah menjejaskan laluan penting seperti Selat Hormuz.

Bagi dunia perniagaan pula, kenaikan kos bahan api memberi kesan langsung kepada operasi harian dan kesan terhadap harga jualan bakal ditanggung oleh pengguna.

Dua persoalan utama perlu dijawab dengan jelas:

Pertama, kerajaan perlu jelaskan hala tuju jangka sederhana bagi harga diesel.

Kedua, bagaimana kerajaan menangani kesan terhadap harga makanan dan barangan asas.

Walaupun inflasi mencatatkan 1.4% setakat ini, kenaikan kos pengangkutan berpotensi mengubah keadaan dengan cepat — lebih-lebih lagi apabila nadi pergerakan barangan negara, bergantung kepada petrol diesel.

Abdul Rahman Khairuddin
Pengarah Dewan Muda Alternatif

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast