Tangkap layar video tular yang memaparkan dua motosikal menunggang melawan arus di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Kluang.

KLUANG – Tular dua lelaki menunggang motosikal dengan tidak memakai topi kaledar dan melawan arus di Kilometer 76 hingga Kilometer 75 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dekat sini baru-baru ini.

Rakaman video berdurasi dua minit 16 saat itu memaparkan sebuah motosikal seakan mengejar motosikal lain di depannya sebelum kedua-duanya masuk ke laluan bertentangan dan melawan arus.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengesan video yang tular itu semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 5 Mac lalu melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan Modenas Kriss.

“Kedua-dua motosikal tersebut menunggang melawan arus dan seperti kejar mengejar walaupun terdapat kenderaan lain di laluan bertentangan sehingga hampir berlaku kemalangan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kluang hari ini membuat tangkapan ke atas salah seorang penunggang untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan lain.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Menurut beliau, sorang lagi penunggang sedang dikesan dan orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Tambahnya, boleh juga menghubungi IPD Kluang 07-7784222; direct line 07-7784256; hotline 07-7766822 atau tablet DCC 014-3656822.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast