MELAKA – Dalam kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini, satu kisah kecil dari Duyong mencerminkan makna sebenar Syawal apabila rezeki dikongsi tanpa mengira latar belakang.
Seawal pagi, seorang individu telah menghantar Whatsapp kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem sehingga menyentuh perasaannya.
Mesej itu memaklumkan mengenai sumbangan ais batu percuma kepada penduduk setempat dan meminta Noor Helmy menguar-uarkannya.
“Assalamualaikum, Selamat Hari Raya Aidilfitri… sesiapa yang memerlukan air batu… infaq dari saya… ambil sekadar yang perlu.
“Dari Duyong, untuk Duyong, kepada Duyong,” tulis mesej berkenaan yang turut dihantar kepada beliau.

Mesej tersebut memaparkan sebuah lori membawa bekalan ais yang disusun rapi di tepi jalan di Lorong Duyong Tengah 10 untuk diambil orang ramai secara percuma dan dipuji Mohd Noor Helmy.
“Nak gembira macam mana lagi di hari raya? Bila tengok orang susah di Duyong terbela.
“Bila merasa orang senang di Duyong kongsi rezeki yang ada. DUYONGkita berbeza,” tulisnya.
Perkongsian itu menarik perhatian warga maya apabila meraih hampir 1,000 reaksi selain 19 perkongsian setakat tengah hari ini.
Inisiatif spontan itu nyata mendapat sambutan hangat dalam kalangan penduduk setempat apabila ramai tampil mengambil sekadar keperluan, selain turut menyebarkan maklumat kepada jiran dan ahli kariah lain. – MalaysiaGazette
















