JOHOR BAHRU – Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini membawa kegembiraan berganda buat sepasang suami isteri dari Perling apabila dikurniakan seorang bayi lelaki pada hari istimewa tersebut.

Zuhairi Md Zin dan isterinya, Hanisah Sabri, kedua-duanya berusia 31 tahun, menyambut kelahiran anak keempat mereka pukul 3.01 petang semalam secara normal di Hospital Pakar Puteri di sini

Menurut Zuhairi, mereka sebenarnya menjangkakan kelahiran tersebut berlaku selepas Aidilfitri memandangkan tarikh jangkaan bersalin adalah pada 12 April.

“Saya memang berharap bayi lahir selepas raya. Kami juga merancang untuk pulang ke kampung di Bahau selepas subuh ini, namun perancangan Allah SWT lebih baik apabila air ketuban pecah sekitar pukul 3 pagi semalam,” kata Hanisah ketika ditemui.

Bayi lelaki kedua pasangan itu disambut oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Noor Aini Saari.

Sementara itu, Hanisah yang bekerja sendiri dan menggemari juadah tradisional berkata, hasratnya untuk menikmati hidangan raya tetap tercapai sebelum bersalin.

“Alhamdulillah, saya sempat menikmati rendang dan kuah lodeh pada malam sebelum bersalin.

“Saya juga teruja menantikan anak-anak lain datang melawat adik mereka, walaupun ahli keluarga yang lain sudah pulang ke kampung,” katanya.

Pasangan itu kini mempunyai empat anak berusia antara lima hingga sembilan tahun.

Hanisah berseloroh, mempertimbangkan nama Syawal buat bayinya, namun belum dimuktamadkan.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Zuhairi dan Hanisah Sabri menyambut anak keempatnya di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, semalam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast