MERSING – Sambutan hari pertama Hari Raya Aidilfitri semalam dicemari dengan perbuatan jijik dua lelaki yang dipercayai melakukan hubungan seks sesama jenis di sebuah kawasan terpencil di sini.
Perbuatan pasangan songsang tersebut kantoi selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan pemeriksaan pada jam 6 petang.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tersebut dijalankan empat penguat kuasanya ketika melakukan rondaan van untuk mencegah aktiviti maksiat di daerah ini.
“Penguat kuasa menaiki van menghampiri sebuah kereta yang sedang berhenti dari arah belakang. Cermin belakang kereta gelap dan tidak nampak orang di dalam.
“Bagaimanapun, penguat kuasa dapati kereta bergoyang dan berbuai. Enjin dan penghawa dingin kereta dalam keadaan hidup. Untuk keselamatan, penguat kuasa tidak turun dari van tetapi van menuju ke depan kereta.
“Cermin depan tidak gelap dan penguat kuasa boleh nampak stereng kereta tetapi tiada orang di bangku hadapan kiri dan kanan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Penguat kuasa kemudian turun dari van dan pergi ke tingkap kereta di sebelah pemandu yang tidak gelap sepenuhnya tetapi tidak nampak ke dalam.
Siasatan penguat kuasa mendapati cermin tingkap belakang kiri dan kanan tidak berapa gelap dan boleh melihat perbuatan yang sedang dilakukan mereka dalam kereta tersebut.
Saksi yang melihat perbuatan tersebut adalah dua penguat kuasa wanita dan dua penguat kuasa lelaki JAINJ.
“Penguat kuasa nampak dua lelaki ‘buat sesuatu’ dan penguat kuasa terus mengetuk pintu sambil menunjukkan kad kuasa. Pintu kereta dibuka seminit kemudian oleh salah seorang dari lelaki tersebut.
“Penguat kuasa arahkan dua lelaki berkenaan keluar tetapi mereka tidak terus keluar. Rupanya mereka berdua tidak memakai memakai seluar dan dua-dua memakai t-shirt sahaja,” jelas JAINJ.
Jabatan tersebut memberitahu, kedua-dua lelaki berkenaan kelihatan pucat dan lambat menjawab soalan penguat kuasa.
Lelaki pertama berumur 30-an, merupakan warga tempatan, masih bujang, berasal dari negeri lain dan bekerja di daerah ini.
Lelaki kedua berumur 20-an, seorang warganegara Pakistan beragama Islam, mempunyai pasport, masih bujang dan mengaku tidak bekerja.
Pasangan itu berkenalan melalui sebuah aplikasi internet iaitu lelaki tempatan berkenaan yang menawarkan servis hangat kepada lelaki warga asing berkenaan.
“Dia tidak menipu identiti sebagai wanita tetapi berterus terang sebagai lelaki gersang untuk dibelai, didamba dan diusap manja oleh lelaki sejati,” ujar JAINJ.
Difahamkan sasaran iklan di internet itu adalah kepada lelaki dengan keutamaan diberikan kepada lelaki sado sebelum ‘pertemuan’ diadakan dalam kereta.
“Mereka berkenalan dalam seminggu dan ini adalah pertemuan kali pertama mereka. Hari itu, selepas balik kerja, lelaki tempatan itu menaiki kereta miliknya dan mengambil lelaki Pakistan tersebut di satu lokasi.
“Mereka seterusnya pergi ke satu tempat terpencil yang difikirkan selamat untuk aksi songsang itu. Di situlah mereka bermadu asmara dan melepaskan dendam kesumat.
“Sebelum ini mereka sudah bersembang berahi di alam maya, sekarang beraksi di gelanggang alam nyata pula.
“Apakah yang mereka buat di tempat duduk belakang kereta dan apakah yang penguat kuasa nampak? Itu semua akan dibacakan fakta kes di mahkamah nanti,” jelas kenyataan tersebut lagi.
Tambah JAINJ, soal siasat seterusnya, mereka mengakui melakukan perbuatan itu suka sama suka tanpa bayaran.
Kedua-duanya ditangkap untuk siasatan di bawah seksyen 56 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau kombinasi hukuman tersebut.- MalaysiaGazette
















