TANGKAK – Sebuah syarikat kerugian RM704,234 selepas tertipu dengan sindiket yang menghantar emel palsu berkenaan penjualan besi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat pekerja syarikat terbabit berusia 60 tahun pada Selasa lalu mendakwa tertipu berhubung urusan tempahan bekalan besi.
“Laporan dibuat pegawai perakaunan terbabit memaklumkan mereka menerima emel dengan menawarkan urusan jualan besi. Dalam kes ini, pekerja wanita terbabit berhubung dengan suspek melalui emel berkaitan urusan tempahan bekalan.
“Tanpa menyedari bahawa emel terbabit adalah palsu, pekerja itu kemudiannya melakukan dua transaksi dalam akaun disyaki mule akaun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, wanita terbabit hanya menyedari ditipu apabila membuat semakan terperinci ke atas emel syarikat pembekal dan mendapati ia dipalsukan.
Menurut Roslan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Orang ramai diseru menyemak emel diterima terlebih dahulu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket seperti ini.- MalaysiaGazette
















