KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan Setiausaha Politik beliau, Datuk Alvin Runggah Jimbun antara individu yang wajar dipertimbangkan sebagai calon bagi menggantikannya di Parlimen itu.
Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Alvin mempunyai keupayaan dan kesesuaian untuk memikul tanggungjawab tersebut demi meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, beliau sentiasa percaya bahawa tanggungjawab seorang pemimpin bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan masa kini, tetapi juga merancang masa depan, terutamanya dalam membentuk dan mengasah generasi pelapis.
Tambah beliau, generasi muda dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu terus dibimbing dan diberi peluang agar kesinambungan perjuangan parti terutama di Kapit sentiasa terjamin.
“Kita mahu memastikan bukan sahaja kesinambungan dalam politik, tetapi juga kesinambungan pembangunan untuk rakyat di Parlimen P215 Kapit.
“Salah satu contoh ialah Setiausaha Politik saya, Datuk Alvin Runggah Jimbun, yang telah lama diasah dan mempunyai pengalaman luas dalam PBB serta Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Nanta berkata, Alvin bukan sahaja memahami selok-belok pentadbiran, malah telah menunjukkan komitmen tinggi dalam berkhidmat kepada rakyat.
“Apa yang penting, perjuangan kita adalah untuk rakyat, dan masa depan Kapit perlu terus dipimpin oleh mereka yang berwibawa, berpengalaman dan komited,” katanya. – MalaysiaGazette
















