KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap cuaca panas melampau susulan peningkatan kes berkaitan strok haba di negara ini.
Menurut beliau, sepanjang tahun ini sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas telah direkodkan termasuk satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak.
“Cuaca panas melampau ketika ini menuntut kita semua untuk lebih peka terhadap risiko kesihatan, khususnya strok haba,” tulisnya dalam Facebook hari ini.
Dzulkefly berkata, orang ramai perlu segera mengenal pasti tanda awal strok haba seperti pening berpanjangan, rasa dahaga melampau serta peningkatan suhu badan.
“Sekiranya mengalami simptom ini, segera cari tempat teduh, minum air kosong secukupnya dan sejukkan badan dengan kadar segera,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah aspek keselamatan, terutama melibatkan kanak-kanak.
“Jangan sesekali meninggalkan anak-anak atau sesiapa sahaja di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun untuk tempoh yang singkat,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau menyarankan orang ramai merujuk infografik yang dikongsikan Kementerian Kesihatan sebagai panduan langkah pencegahan.
“Pencegahan awal adalah kunci. Kekal sihat dan pastikan tubuh sentiasa terhidrat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















