KUALA LUMPUR – Usia muda bukan penghalang untuk mencipta nama di peringkat dunia apabila seorang penari cilik dari Klang berjaya mencuri perhatian di pentas antarabangsa.
Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Highlands, L. Yoshnaa, 11, mengharumkan nama negara apabila merangkul Anugerah Emas bagi kategori bawah 13 tahun dalam pertandingan berprestij The Dance of Asia 2026 yang berlangsung di Chengdu, China, baru-baru ini.
Lebih membanggakan, Yoshnaa turut membawa pulang Anugerah Perak bagi persembahan keseluruhan dalam pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu, menewaskan peserta lain dari rantau Asia Pasifik.
Kejayaan itu menjadi lebih bermakna apabila ia merupakan penampilan sulung Yoshnaa di pentas antarabangsa selepas sebelum ini hanya menyertai pertandingan di peringkat tempatan.

Ibunya, B. Mohanaeswary berkata, Yoshnaa mula menari sejak usia lima tahun dan kini telah melalui enam tahun latihan intensif yang membentuk asas kemahirannya.
“Yoshnaa mula menari sejak usia lima tahun dan banyak mendedikasikan masanya untuk menyempurnakan teknik dan rutin.
“Pencapaian ini benar-benar ganjaran kepada kerja keras serta ketekunannya,” katanya.
Menurutnya, kejayaan itu juga hasil bimbingan berterusan daripada jurulatih peribadi Acrobatic Arts, Yee Woan Tyng serta ERA Dance Academy yang banyak membantu memperhalusi teknik dan disiplin Yoshnaa.
Beliau turut mendedahkan bahawa pengorbanan gurunya, Woan Tyng yang sanggup hadir ke Chengdu menggunakan perbelanjaan sendiri demi memberi sokongan kepada anaknya, menjadi antara faktor penting kejayaan tersebut.
“Gurunya hadir menggunakan wang sendiri semata-mata untuk bersama Yoshnaa di pentas antarabangsa.
“Pengorbanan itu sangat besar dan kami amat menghargainya. Tanpa bimbingan dan sokongan mereka, sukar untuk Yoshnaa berada di tahap ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya, melihat Yoshnaa menyerlah di pentas antarabangsa dalam kalangan penari berbakat dari seluruh Asia Pasifik merupakan detik yang cukup luar biasa buat keluarganya.
“Sebelum ini Yoshnaa hanya bertanding pada peringkat tempatan, jadi ini pengalaman baharu baginya. Ia mencabar dan dalam masa sama mengujakan.
“Kami amat bangga dengan persembahannya,” katanya yang turut menemani anaknya ke pertandingan tersebut.

Sementara itu, bapanya, ASP S. Logenthiran yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka berkata, beliau berasa amat bangga dan terharu dengan pencapaian anaknya itu.
“Saya sangat terharu melihat semua usaha kerasnya membuahkan hasil.
“Ia antara saat paling membanggakan dalam hidup kami,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















