ISTANBUL – Iran pada Ahad memberi amaran bahawa infrastruktur tenaga dan infrastruktur kritikal di seluruh rantau Asia Barat akan menjadi “sasaran sah” sekiranya kemudahan milik negara itu diserang, lapor Anadolu Ajansi.

“Sejurus selepas stesen janakuasa dan infrastruktur di negara kami disasarkan, infrastruktur kritikal, infrastruktur tenaga serta kemudahan minyak di seluruh rantau ini akan dianggap sebagai sasaran sah,” kata Speaker Parlimen Mohammad Bagher Qalibaf dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform media sosial X.

Beliau menambah sasaran berkenaan “akan dimusnahkan dengan cara yang tidak boleh dipulihkan,” sambil memberi amaran bahawa “harga minyak akan kekal tinggi untuk tempoh yang lama.”

Ancaman itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengeluarkan ultimatum pada Sabtu, memberi Tehran tempoh 48 jam untuk membuka Selat Hormuz atau berdepan serangan ke atas loji janakuasanya, “bermula dengan yang terbesar terlebih dahulu.”

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Jumaat turut memberi amaran bahawa Iran tidak akan menunjukkan “sebarang kekangan” sekiranya infrastrukturnya diserang. – BERNAMA-ANADOLU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast