KKM telah diambil terhadap seorang penjawat awam yang didapati merokok di sebuah premis makanan di Rawang pada 23 Mac selepas insiden itu tular di media sosial.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan telah mengambil tindakan terhadap seorang penjawat awam yang didapati merokok di sebuah premis makanan di Rawang, 23 Mac lalu selepas insiden itu tular di media sosial.

Katanya, hasil siasatan segera mendapati individu terbabit merupakan seorang petugas di Pejabat Kesihatan Daerah Gombak.

“Susulan pelanggaran tersebut, tindakan kompaun telah dikeluarkan di bawah Seksyen 16(2) Akta 852,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegas KKM, larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] terpakai kepada semua individu tanpa pengecualian, termasuk penjawat awam.

Tambahnya, selain kompaun, tindakan tatatertib dalaman turut akan dikenakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.

KKM menegaskan premis makanan merupakan antara 28 kawasan larangan merokok yang telah diwartakan dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu, termasuk warga kerjanya sendiri, yang melanggar undang-undang tersebut.

“Sebagai agensi yang menerajui kesihatan awam, KKM komited melaksanakan penguatkuasaan secara tegas, adil dan konsisten bagi melindungi orang ramai daripada pendedahan asap rokok,” katanya.

Sehubungan itu, KKM mengingatkan bahawa pematuhan terhadap larangan merokok adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan persekitaran yang bersih, sihat dan selamat.

Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan melalui saluran rasmi kementerian bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berkaitan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast