PENGERANG – Operasi hari keempat memadam kebakaran hutan dan belukar di sepanjang Lebuhraya Bypass Punggai ke Sebana Cove di sini sudah 42 peratus berjaya dipadamkan setakat hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Kanan I Alvinni Jackson berkata, kebakaran ini melibatkan 63 hektar daripada keseluruhan 150 hektar kawasan yang terbakar.
Jelas beliau, keadaan berisiko bertambah buruk berikutan cuaca panas, kering dan angin bertiup kencang.
“Operasi pemadaman sejak Sabtu lalu dijalankan lapan anggota dari BBP Punggai bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Yayasan Perladangan Johor, dibahagikan kepada dua divisyen.
“Division A bertugas di sebelah kiri lebuh raya menggunakan aliran hos 800 kaki dan pam Godiva GP10/10 dengan sumber air dari takungan berhampiran.
“Division B pula di sebelah kanan lebuh raya menggunakan hos 1,200 kaki dan pam Godiva serta Tohatsu, turut mendapatkan bekalan air dari takungan berhampiran,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, anggota dari Balai Polis Bayu Damai turut membantu menutup jalan bagi menghalang kenderaan memasuki kawasan kebakaran dan memastikan keselamatan orang ramai.
“Usaha pemadaman akan diteruskan sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya dan mengingatkan orang ramai supaya mengelak daripada melalui kawasan berisiko,” katanya.- MalaysiaGazette
















