Seorang kanak-kanak kritikal selepas terjatuh dari tingkat dua PPR Desa Mutiara, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta untuk menukar semua jeriji penghadang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini selepas seorang budak kritikal akibat terjatuh dari tingkat dua kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerja-kerja pemasangan tersebut akan melibatkan 2,000 unit jeriji penghadang.

“PPR Desa Mutiara yang dibina sejak 19 tahun lalu ini merupakan antara PPR tertua di negeri ini, justeru tidak dinafikan beberapa infrastrukturnya sudah berusia, selain turut rosak disebabkan vandalisme.

“Susulan itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) telah mengeluarkan peruntukan khas bagi menggantikan bukan sahaja jeriji penghadang, tetapi juga pemegang besi tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di Taman Desa Mutiara, hari ini.

Mohd Jafni berkata, pihaknya juga akan membuat penilaian keselamatan terhadap kira-kira 15,000 unit kediaman PPR dan kediaman Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di negeri ini khususnya yang telah berusia lebih 15 tahun.

“Kaedah dahulu jeriji penghadang itu ditanam ke lantai, jadi selepas perbincangan teknikal dibuat, jeriji baharu akan menggunakan kaedah tanam skru di lantai serta ‘wall plug’. Kita anggar ia mampu menahan beban sehingga 200 kilogram,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang mangsa, beliau berkata, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini susulan mengalami pendarahan di dalam kepala dan keadaannya dilaporkan stabil. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast