PASIR GUDANG – Kejadian seorang penunggang yang terjatuh ketika melarikan diri semasa dikejar polis bukan akibat disepak motosikalnya seperti yang tular dalam media sosial ketika ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan G Victor yang menafikan dakwaan itu berkata, kejadian sebenar berlaku apabila penunggang terbabit terlanggar batu di bahu jalan.
“Siasatan dilakukan mendapati kejadian berlaku di Jalan Pulasan, Taman Kota Masai di sini pukul 1.30 pagi kelmarin yang terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis.
“Polis yang sedang melaksanakan Op Selamat 26 menerima aduan awam berkaitan aktiviti lumba haram di lokasi berkenaan sebelum menuju ke lokasi itu.
“Setibanya di lokasi, polis mendapati sekumpulan penunggang motosikal sedang berkumpul dan membuat bising,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, apabila menyedari kehadiran polis, semua penunggang motosikal bertindak melarikan diri ke pelbagai arah.
Katanya, salah satu motosikal ditunggang secara melulu ke arah seorang anggota polis dalam cubaan untuk melarikan diri.
Menurut beliau, walaupun sudah diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, penunggang motosikal cuba mengelak daripada ditahan dan terbabas selepas melanggar batu di bahu jalan sebelah kiri, lalu terjatuh.
“Kita sahkan tiada sebarang tindakan anggota polis menyepak atau menyebabkan penunggang motosikal itu jatuh seperti yang didakwa dalam video tular itu.
“Insiden itu berpunca daripada tindakan penunggang motosikal sendiri dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” jelasnya.
Victor berkata, penunggang motosikal itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi.
Pada masa sama, Victor menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Terdahulu, tular dalam media sosial video yang memaparkan dakwaan seorang anggota polis menyepak seorang penunggang motosikal sehingga menyebabkan penunggang dan pemboncengnya terjatuh.- MalaysiaGazette
















