Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, beliau bukan ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa meminta wang tunai RM10 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin dalam skandal mafia.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR dengan sinis menepis dakwaan itu sambil menunjukkan tangannya yang masih memakai jam Casio.

“Owh sudah tentu bukan saya. Saya masih pakai jam Casio, saya tak ada maklumat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Victor yang terpalit dalam skandal mafia korporat mendakwa seorang ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai sebanyak RM10 juta bagi menyelesaikan skandal tersebut.

Victor mendakwa, beliau bagaimanapun hanya menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal dan baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kepada ahli Parlimen tersebut kerana isu berkenaan tidak diselesaikan.

Victor kini mengeluarkan mesej kepada ahli Parlimen tersebut agar memulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac ini atau identiti wakil rakyat kerajaan itu akan didedahkan.

Menurut Fahmi, PKR tidak akan bertolak ansur kes rasuah itu dan sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya Victor melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami belum ada mesyuarat, pimpinan ada dimaklumkan laporan berita yang melaporkan kenyataan dan dakwaan beliau (Victor). Sekiranya ada, kita serah kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan.

“Kami tiada apa nak disembunyikan dan parti akan beri kerjasama kepada badan penguatkuasaan,” katanya.

Fahmi juga mengulangi ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak akan melindungi sebarang salah laku yang dilakukan mana-mana pihak termasuk ahli parti kerajaan itu.

“Sebarang salah laku tidak akan dilindungi sekiranya dilakukan oleh mana-mana kelompok, apatah lagi sekiranya dakwaan terhadap anggota parti ataupun ahli Parlimen termasuk daripada pihak kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya tentang kemungkinan PKR akan membuat aduan kepada pihak berkuasa, Fahmi bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan itu dan berharap Victor berbuat demikian secepat mungkin.

“Kami tiada maklumat itu, kalau dakwaan itu daripada satu pihak, maka kita minta pihak itu untuk mulakan laporan.

“Terpulang kepada pengadu, dia perlu membuat laporan polis dan juga kepada mana-mana badan penguatkuasaan yang lain sebelum tindakan boleh diambil.

“Terpulang kepada badan-badan penguatkuasaan untuk lakukan (tindakan),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast