Jenazah Muhammad Adam Haziq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 28, Kahang, Kluang malam tadi.

MERSING – “Sebelum kejadian dia (Muhammad Adam Haziq) menunjukkan beberapa perubahan termasuk ketika menziarahi kubur ahli keluarga, arwah beritahu dia akan turut disemadikan di situ sekiranya sudah tiada.

“Kami tidak menjangka ia petanda dia akan pergi selamanya,” kata ibu mangsa remaja lemas, Rohaya Arshad, 43.

Rohaya berkata, sebelum tragedi berkenaan, Muhammad Adam, 15, pergi ke Kampung Peta, Endau di sini kelmarin untuk beraya di rumah rakannya.

Malangnya ketika itu Muhammad Adam Haziq yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar lemas ketika mandi sungai di jeti kampung tersebut.

“Kampung itu terletak kira-kira 30 kilometer dari kediaman kami dan kami bukan komuniti Orang Asli. Arwah hanya ke situ bagi mengunjungi rakannya dan keluarga tidak mengetahui aktivitinya bersama rakan ketika itu.

“Kami terkejut apabila menerima panggilan menyatakan arwah dikhuatiri lemas,” katanya ketika dihubungi.

Ibu kepada enam cahaya mata itu menyifatkan ketiadaan Muhammad Adam Haziq merupakan suatu kehilangan besar bagi keluarganya dan arwah akan dirindui selama-lamanya.

Rohaya berkata, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 28, Kahang, Kluang pada malam tadi.

Semalam, portal ini melaporkan seorang remaja lemas ketika mandi sungai di jeti Kampung Peta kelmarin.

Jenazah Muhammad Adam ditemukan pada pukul 12.41 tengah hari semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast