Suraya Sulaiman.

JOHOR BAHRU – Kerajaan digesa segera menubuhkan satu kumpulan bebas untuk menilai semula keseluruhan struktur subsidi dan dasar tenaga negara dalam usaha menangani kenaikan harga barang kesan daripada kenaikan harga diesel.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, kumpulan bebas tersebut perlu melibatkan ahli ekonomi, pakar fiskal dan wakil industri dalam membuat penilaian tersebut.

“Pendekatan berasaskan data, ketelusan dan akauntabiliti amat penting bagi memastikan setiap keputusan dasar tidak hanya menyelesaikan masalah jangka pendek tetapi juga menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang.

“Kerajaan harus sedar bahawa kepercayaan rakyat bergantung kepada ketelusan dan keadilan dalam membuat keputusan.

“Tanpa reformasi yang menyeluruh dan kepimpinan dasar yang konsisten, rakyat akan terus menjadi mangsa kepada dasar yang berubah-ubah dan tidak berpaksikan kepentingan mereka” katanya dalam satu kenyataan.

Pejuang Johor menegaskan, rakyat tidak boleh terus dibebankan tanpa penjelasan telus dan berasaskan fakta daripada kerajaan berhubung kenaikan harga diesel yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup.

Katanya, berdasarkan Formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang selama ini digunakan sebagai rujukan harga bahan api secara telus dan berasaskan harga pasaran global, harga diesel di Semenanjung sepatutnya berada sekitar RM4.97 seliter.

Namun kerajaan mengambil keputusan untuk meninggalkan pendekatan itu dan menggantikannya dengan mekanisme kenaikan secara berperingkat di bawah kerangka Madani iaitu 80 sen × 3, sekali gus melonjakkan harga diesel kepada RM5.52 seliter.

Perubahan dasar itu dakwanya, menimbulkan persoalan serius tentang ketelusan dan konsistensi dasar subsidi kerajaan.

Hakikatnya, kata Suraya, rasionalisasi subsidi bukan isu baharu, namun pelaksanaannya mesti adil, berperingkat dan tidak menekan rakyat secara mendadak.

“Data menunjukkan bahawa subsidi bahan api merupakan antara komponen perbelanjaan terbesar kerajaan yang pernah mencecah puluhan bilion ringgit setahun ketika harga minyak dunia tinggi.

“Namun, pengurangan subsidi secara drastik tanpa mekanisme perlindungan yang menyeluruh akan menyebabkan kesan rantaian kepada ekonomi, termasuk peningkatan kos logistik, harga barangan dan inflasi keseluruhan,” katanya.

Diesel khususnya merupakan input utama kepada sektor pengangkutan, pertanian dan industri kecil, justeru sebarang kenaikan akan memberi kesan berganda kepada rantaian bekalan negara, ujarnya.

Dalam konteks fiskal, katanya, kerajaan sering memberi alasan bahawa langkah berkenaan perlu bagi mengawal kedudukan kewangan negara.

“Memang benar bahawa hutang negara kini telah melebihi RM1.3 trilion dan berada sekitar 60–65 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), menghampiri had statutori,” katanya.

Defisit belanjawan pula, katanya, masih berterusan setiap tahun kerana perbelanjaan kerajaan melebihi hasil, manakala komitmen bayaran faedah hutang kini mencecah puluhan bilion ringgit setahun.

Namun penyelesaian kepada masalah fiskal tidak seharusnya tertumpu kepada pemindahan beban kepada rakyat semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan reformasi struktur seperti pengurangan ketirisan, peningkatan kecekapan perbelanjaan serta peluasan asas hasil negara secara mampan.

“Kesan kenaikan harga diesel ini amat nyata kepada rakyat. Bagi isi rumah yang menggunakan kira-kira 100 liter diesel sebulan, mereka kini terpaksa menanggung tambahan sekitar RM55 berbanding harga berasaskan APM.

“Bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta logistik, sebuah lori kecil yang menggunakan 1,000 liter diesel sebulan akan menanggung tambahan sekurang-kurangnya RM550 dan jumlah ini boleh meningkat kepada ribuan ringgit bagi syarikat yang mengendalikan armada kenderaan,” katanya lagi.

Kesan itu menurut Suraya, akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barang keperluan sekali gus menekan lagi kos sara hidup rakyat yang sedia tinggi.

Lebih membimbangkan adalah ketidakseimbangan harga antara wilayah.

“Diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan masih dikekalkan pada harga sekitar RM2.15 seliter melalui subsidi kerajaan, manakala rakyat di Semenanjung terpaksa membayar lebih daripada dua kali ganda harga tersebut,” katanya.

Walaupun terdapat faktor logistik dan dasar wilayah, jurang harga yang terlalu besar itu menimbulkan persoalan keadilan dan kesaksamaan dalam pelaksanaan dasar subsidi nasional.

Sehubungan itu, Pejuang Johor dengan tegas menuntut kerajaan memberikan penjelasan yang menyeluruh dan berfakta kepada rakyat.

“Mengapa formula APM yang telus diketepikan, apakah asas sebenar kepada pelaksanaan mekanisme kenaikan baharu ini dan adakah langkah ini didorong oleh tekanan hutang negara yang semakin meningkat sehingga mencecah sekitar 65 peratus KDNK,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu memberikan jaminan tiada lagi kenaikan mendadak akan dikenakan tanpa pelan perlindungan yang jelas kepada rakyat khususnya golongan B40, M40 serta pemain industri kecil.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast