SHAH ALAM – Kebakaran melibatkan longgokan barangan kitar semula di kawasan terbuka seluas kira-kira dua ekar dilaporkan berlaku berhampiran Pusat Memandu Shah Bandar Sdn Bhd, Jalan Nagasari, Seksyen 36, di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.24 tengah hari sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera pertama tiba di lokasi kira-kira jam 1.36 tengah hari.
“Kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan oleh anggota bomba di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Operasi turut dibantu anggota dari BBP Klang Selatan, BBP Andalas, BBP Pelabuhan Klang, BBP Klang Utara dan BBP Bukit Jelutong dengan kekuatan keseluruhan seramai 31 anggota.
Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. – MalaysiaGazette
















