Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya mencatat pencapaian terbaik dalam domain Penulisan, Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 seperti yang diumumkan di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, pencapaian skor purata bagi domain Penulisan murid Malaysia adalah sebanyak 480.1 mata, iaitu 29.2 mata lebih tinggi berbanding purata serantau, dan yang tertinggi dalam kalangan semua negara Asia Tenggara yang menyertai SEA-PLM 2024.

Sebanyak 21 peratus murid Malaysia berada pada band pencapaian tertinggi iaitu Band 5 ke atas, berbanding purata serantau sebanyak lima peratus.

“Pencapaian ini menunjukkan tahap pemikiran kritis murid yang merangkumi kandungan, konteks serta proses penyampaian idea dalam penulisan.

Walau bagaimanapun, jurang pencapaian antara kumpulan sosioekonomi, jantina serta perbezaan bahasa pertuturan di rumah dan di sekolah masih wujud yang menjadi cabaran utama dalam memastikan pendidikan yang lebih saksama,” kata KPM dalam kenyataan hari ini.

SEA-PLM mengukur pencapaian murid Tahun 5 dalam empat domain utama iaitu Bacaan, Matematik, Penulisan dan Kewarganegaraan Global.

Bagi Malaysia, pentaksiran ini melibatkan 4,379 murid di 158 sekolah rendah, merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), SK Asli, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta. Keputusan domain Bacaan dan Matematik telah diumumkan pada bulan Disember tahun 2025.

KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara setara dengan standard pentaksiran antarabangsa demi manfaat anak-anak Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast