KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long dan isterinya, Chan Swee Ying perlu diberi keutamaan segera dengan kedua-duanya dihadapkan ke muka pengadilan bagi menjawab segala pendakwaan yang timbul.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, dakwaan yang dibangkitkan serta perhatian media tempatan dan antarabangsa bukan sahaja menyentuh integriti sektor korporat malah memberi kesan langsung kepada imej negara, keyakinan pelabur dan tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengutamakan siasatan secara menyeluruh, profesional serta bebas daripada sebarang pengaruh.
“MCW menegaskan bahawa sekiranya terdapat asas bukti yang mencukupi, tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah hendaklah diambil tanpa sebarang kelewatan.
“Dalam masa yang sama, prinsip keadilan mesti dipelihara, tiada individu boleh dihukum melalui persepsi awam atau tekanan media tanpa proses undang-undang yang sah dan telus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menggelarkan Victor Chin sebagai ‘syaitan korporat’ selain mempersoalkan bagaimana Chan Swee Ying memperoleh dana RM88 juta bagi membeli 9.53 peratus kepentingan atau 220 juta saham MMAG.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pihak berkuasa sedang menjejaki Victor Chin susulan dakwaan sindiket pengambilalihan paksa syarikat namun enggan mendedahkan butiran lanjut walaupun lokasi individu itu diketahui.
Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail memaklumkan Victor berada di luar negara dan usaha menjejakinya sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa antarabangsa.
Dalam pada itu, Jais berkata, jika siasatan mendapati wujud risiko gangguan terhadap saksi, bukti atau kemungkinan melarikan diri, langkah pencegahan wajar dipertimbangkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Tegasnya, isu itu tidak boleh dilihat sebagai pertikaian korporat semata-mata kerana ia menyentuh tadbir urus, integriti pasaran modal serta kredibiliti sistem penguatkuasaan negara.
Menurutnya, persepsi mengenai kewujudan ‘mafia korporat’ atau campur tangan luar jika tidak ditangani tegas, mampu menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat global.
“Justeru, MCW menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, namun dalam masa sama memastikan tiada sebarang kelewatan atau layanan istimewa diberikan kepada mana-mana pihak.
“Prinsipnya jelas, sesiapa yang terlibat mesti disiasat dan jika bukti mencukupi, mesti dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya. – MalaysiaGazette
















