Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat

JOHOR BAHRU – Statistik kemalangan dalam Op Selamat 26 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 19 Mac lalu hingga kelmarin mencatatkan penurunan berbanding operasi sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, secara keseluruhan, jumlah kemalangan menurun daripada 1,642 kes kepada 1,506 kes dengan kemalangan maut menyusut daripada 24 kes kepada 10 kes.

“Kemalangan sepanjang Op Selamat 26 menurun sebanyak 136 kes iaitu 8.28 peratus berbanding Op Selamat 24 dengan pecahan kemalangan maut menurun berkurang 14 kes dengan jumlah kematian menurun daripada 26 orang kepada 11 orang.

“Berdasarkan statistik, daripada 11 kematian direkodkan itu, penunggang atau pembonceng motosikal adalah penyumbang utama kemalangan maut iaitu sembilan orang,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Beliau memberitahu, lain-lain kemalangan juga menurun daripada 1,618 kes kepada 1,496 kes, iaitu berkurang 122 kes bersamaan 7.54 peratus.

Katanya, jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan pula meningkat daripada 10,189 kepada 12,049 iaitu meningkat 1,860 saman atau 18.25 peratus.

Sepanjang tempoh operasi itu katanya, kadar kes jenayah pecah rumah merekodkan 12 kes, sama seperti pada Op Selamat 24 pada tahun lalu.

Ujarnya, sepanjang pelaksanaan Op Selamat 26, polis Johor menerima sebanyak 1,571 borang maklumat balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Jelasnya, maklumat diterima mengenai orang awam yang balik kampung itu membantu pihak polis memantau dan meningkatkan keselamatan kediaman sepanjang musim perayaan.

Polis Johor katanya, menggerakkan seramai 2,018 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai elemen serta jabatan dengan 47 lokasi hotspot dan 38 lokasi blackspot kawasan yang kerap berlaku kesesakan serta kemalangan diberi tumpuan sepanjang Op Selamat 26.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast