PENGERANG – Bomba akan menggunakan bom air (water bombing) bagi memadam kebakaran esok yang masuk hari keenam di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir berkata, bagi operasi kebakaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pengerang yang masuk hari keempat esok akan menggunakan teknik total flooding.
Beliau berkata, pihaknya menggunakan kaedah serangan langsung (direct attack) dengan bantuan lori tangki bagi mengawal api merebak ke kawasan baharu.
“Setakat pukul 12 tengah hari tadi sebanyak 85 peratus atau 127.5 hektar kawasan kebakaran di Jalan Bypass Punggai–Sebana Cove berjaya dipadamkan. Keseluruhan yang terbakar melibatkan 150 hektar sejak Sabtu lalu.
“Sementara di PPR Pengerang, sebanyak 55 peratus atau kira-kira 4.5 hektar kawasan berjaya dikawal daripada keseluruhan 10 hektar sejak Selasa lalu,” katanya selepas meninjau operasi pemadaman kebakaran hutan yang di jalan berkenaan hari ini.
Siti Rohani berkata, bantuan jentera berat seperti excavator dan backhoe turut digunakan bagi membina fire break sebagai langkah mengekang api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
Pihaknya memberi jaminan operasi akan diteruskan secara agresif sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya sekali gus memastikan keselamatan penduduk dan alam sekitar terpelihara.
Katanya, operasi turut dibantu oleh pekerja ladang Yayasan Perladangan Johor (YPJ) digerakkkan yang menjalankan kerja-kerja pemotongan laluan keselamatan serta proses cooling di kawasan terjejas.
Operasi bersepadu itu melibatkan kekuatan 35 anggota bomba bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), YPJ, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) serta Majlis Perbandaran Pengerang. – MalaysiaGazette
















