KEPUTUSAN kerajaan untuk mengurangkan kuota petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan menandakan satu titik perubahan penting dalam landskap pengurusan subsidi negara.
Langkah ini, walaupun berasaskan dapatan bahawa purata penggunaan berada sekitar 100 liter dan majoriti pengguna tidak melebihi 200 liter sebulan, tidak boleh dilihat secara terpisah daripada konteks ekonomi yang lebih luas.
Dalam realiti semasa, pengurangan kuota subsidi bermaksud mempercepatkan pendedahan sebahagian pengguna kepada harga pasaran bahan api yang lebih tinggi.
Ini berlaku dalam keadaan harga tenaga global yang kekal tidak stabil, didorong oleh ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan strategik.
Kesan daripada perkembangan ini adalah bersifat sistemik.
Kenaikan kos bahan api bukan sahaja meningkatkan perbelanjaan langsung isi rumah, tetapi turut mencetuskan kesan berantai kepada kos pengeluaran, pengangkutan dan logistik.
Dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia, tekanan ini akhirnya diterjemahkan kepada peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus menjejaskan kuasa beli rakyat.
Golongan yang paling terkesan bukan sahaja kelompok berpendapatan rendah, tetapi juga kumpulan berpendapatan sederhana yang berada di luar perlindungan bantuan bersasar, namun terdedah kepada kenaikan kos secara langsung.
Dalam masa yang sama, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berdepan cabaran untuk menyerap peningkatan kos operasi.
Sekiranya tekanan ini berterusan, risiko kepada pasaran buruh dan momentum pertumbuhan ekonomi tidak boleh dipandang ringan.
Langkah-langkah bantuan yang diperkenalkan kerajaan setakat ini, termasuk pelbagai inisiatif di bawah kerangka BUDI, dilihat berperanan sebagai mekanisme penampan.
Namun, pendekatan ini cenderung bersifat jangka pendek dan reaktif, serta tidak menangani keseluruhan dimensi tekanan ekonomi yang sedang berlaku.
Dalam konteks ini, cadangan oleh Dr. Sam untuk menubuhkan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara wajar dilihat sebagai satu anjakan strategik dalam tadbir urus ekonomi negara.
Cadangan ini membawa pendekatan yang berbeza daripada dasar yang dilaksanakan secara berasingan kepada penyelarasan yang menyeluruh dan bersepadu.
Dalam persekitaran ekonomi yang kompleks dan saling berkait, keperluan kepada platform yang mampu menghimpunkan kerajaan, pembangkang, ahli akademik, pemain industri dan masyarakat sivil adalah semakin mendesak.
Melalui mekanisme sedemikian, dasar ekonomi dapat dirangka berasaskan data, realiti industri dan keperluan rakyat secara lebih holistik.
Ini juga membolehkan tindak balas yang lebih pantas dan tepat terhadap kejutan ekonomi, termasuk isu berkaitan subsidi dan kos sara hidup.
Lebih penting, pendekatan non-partisan dalam pengurusan ekonomi berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur.
Dalam suasana global yang tidak menentu, kestabilan dasar dan kejelasan hala tuju ekonomi menjadi faktor kritikal dalam menentukan daya tarikan sesebuah negara sebagai destinasi pelaburan.
Sebaliknya, kegagalan untuk menyusun respons secara menyeluruh berisiko menjadikan dasar ekonomi kekal bersifat ad hoc dan reaktif, sekali gus mempercepatkan tekanan inflasi dan ketidaktentuan pasaran.
Sejarah ekonomi menunjukkan bahawa kenaikan harga tenaga sering menjadi pencetus kepada gelombang inflasi yang lebih luas dan berpanjangan.
Oleh itu, pengurangan kuota subsidi RON95 tidak boleh dilihat sekadar sebagai langkah fiskal, tetapi sebagai isyarat bahawa Malaysia sedang memasuki fasa baharu tekanan ekonomi.
Persoalan utama kini bukan lagi berkisar kepada kewajaran sesuatu langkah dasar secara individu, tetapi sejauh mana negara mempunyai keupayaan institusi untuk mengurus kesan berantai yang terhasil daripadanya.
Dalam keadaan ini, keperluan untuk beralih daripada pendekatan reaktif kepada kerangka tadbir urus yang lebih strategik dan inklusif menjadi semakin jelas.
Cadangan penubuhan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara menawarkan asas kepada peralihan tersebut.
Dalam menghadapi ketidaktentuan global dan tekanan domestik yang semakin kompleks, keupayaan untuk bertindak secara kolektif dan merentasi sempadan politik bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik negara.
Kembali semula kepada cadangan Dr. Sam sebelum ianya terlambat dan keadaan menjadi semakin sukar untuk rakyat Malaysia.

Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid
Profesor di Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF) dan Felo Ekonomi dan Perniagaan di The Future Research

















kami tak perlukan penangguk untuk menceduk di air yang keruh. fikirkan negeri kamu yang kering kontang lah