Datuk Seri Khaled Nordin diberi penerangan berkenaan ladang halia sebelum Majlis Perasmian Projek JanaVeteran BPlant di Ladang Telok Sengat, Felda Air Tawar, Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Projek perintis JanaVeteran akan diperluas secara berperingkat-peringkat melibatkan semua 42 ladang milik Boustead Plantations Berhad (BPlant) di seluruh negara selain tanah lain yang bersesuaian termasuk milik persendirian.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai permulaan tanaman halia menggunakan jenama Halia KayTi diusahakan yang berasaskan pertanian moden iaitu secara fertigasi.

“Kita mula dengan halia, kemudian diperluaskan kepada tanaman lain seperti lada dan tanaman bernilai tinggi yang lain. Integrasi teknologi juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti.

“Ini juga merupakan langkah awal Kementerian Pertahanan untuk terlibat secara langsung dalam agenda keterjaminan makanan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek JanaVeteran BPlant di Ladang Telok Sengat, Felda Air Tawar di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, projek perintis itu dilihat sebagai langkah baharu dalam memperkasa keupayaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus mengalihkan pendekatan daripada sekadar bantuan kebajikan kepada penjanaan pendapatan jangka panjang.

Jelas beliau, projek rintis tersebut memberi fokus terhadap usaha membina keupayaan veteran ATM agar mampu berdikari dan tidak hanya bergantung kepada pencen atau bantuan sekali beri.

Usaha itu katanya, selari matlamat kementeriannya untuk memastikan kesejahteraan veteran bukan sahaja daripada sudut kebajikan tetapi melalui peluang pekerjaan dan pendapatan yang bermaruah.

“Selain gaji bulanan RM3,000, veteran yang terlibat turut menerima insentif berdasarkan hasil tuaian, sekali gus meningkatkan lagi potensi pendapatan mereka,” katanya.

Tambah beliau, projek JanaVeteran akan mengutamakan penyertaan veteran ATM sebagai usaha memastikan golongan berkenaan terus diberdayakan sebagai aset penting negara.

“Veteran ATM adalah individu yang banyak berjasa dan berkorban. Kita mahu pastikan mereka terus mempunyai peranan dalam pembangunan negara, bukan sekadar bergantung kepada pencen,” katanya.

Menerusi fasa pertama, projek tersebut melibatkan kawasan seluas 12 hektar dengan penyertaan seramai 15 veteran ATM.

Di Malaysia, kadar sara diri bagi halia masih rendah iaitu sekitar 15.9 peratus dengan kebergantungan import melebihi 85 peratus, manakala pasaran global komoditi itu dijangka mencecah AS$7.5 bilion menjelang 2033.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast