KUALA LUMPUR – Majlis pertunangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi, Bella Astilah yang berlangsung di sini, semalam mencuri perhatian netizen kerana menampilkan keunikan berbanding pasangan lain.
Ini kerana Syed Saddiq, 34, memilih tema ‘Demi Masa Depan’ yang mementingkan masa depan dua Bella Astillah, 32, iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.
Beliau menyerahkan lima dulang hantaran yang antara lain mengandungi pembukaan akaun Tabung Haji (TH) buat Bella serta dua akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) khusus buat Ayden dan Ara.
Pemberian itu menunjukkan kesungguhan Syed Saddiq untuk memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai pasangan malah sebagai pelindung masa depan keluarga kecil Bella.

Bella pula membalas hantaran Syed Saddiq termasuk set minyak wangi dan uniknya, makanan kucing merujuk kepada hobi dan minat mereka.
Sementara itu, tarikh perkahwinan pasangan ini bagaimanapun belum diumumkan tetapi dijadualkan berlangsung pada tahun ini.
Semalam di Instagramnya, Syed Saddiq berkongsi lamarannya kepada Bella di atas Gunung Kinabalu sewaktu hujan lebat, sekali gus menjadi kenangan paling berharga.
Simbolik atas gunung menggambarkan Syed Saddiq sebagai aktif menyertai sukan lasak dan Bella yang merupakan tempat kelahirannya.
Hubungan pasangan berkenaan mula menjadi perhatian ramai selepas mereka dilihat kerap bekerjasama dalam beberapa inisiatif, sekali gus menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat sehingga mencetuskan fenomena #BASS dalam media sosial. – MalaysiaGazette
















