JOHOR BAHRU – Kenaikan harga barang akibat lonjakan harga diesel boleh memperlahankan momentum pertumbuhan ekonomi domestik sekiranya tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh.
Timbalan Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Noorman Kamsani berkata, situasi itu menyumbang kepada tekanan inflasi yang memberi impak besar khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Selain itu, menurutnya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut berdepan cabaran besar dalam mengekalkan kelangsungan operasi.
“Dengan margin keuntungan yang terhad, sebarang peningkatan kos bahan api boleh menjejaskan daya tahan perniagaan, malah berpotensi menyebabkan sebahagian pengusaha terpaksa mengurangkan operasi atau menanggung kerugian.
“Dalam konteks lebih luas, kesan rantaian daripada kenaikan diesel turut melibatkan sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kenaikan harga diesel bukan sekadar isu kenaikan kos bahan api tetapi merupakan satu perkembangan yang memberi kesan menyeluruh terhadap struktur ekonomi negara.
Menurutnya, sebagai komponen utama dalam sektor logistik, pengangkutan dan industri, diesel memainkan peranan kritikal dalam menentukan harga barangan dan kestabilan rantaian bekalan.
“Kesan paling ketara daripada kenaikan ini adalah peningkatan kos sara hidup rakyat.
“Apabila kos pengangkutan meningkat, ia secara langsung mendorong kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk makanan, bahan binaan dan produk pengguna,” katanya.
Justeru, Noorman menyarankan kerajaan untuk mempercepatkan pelaburan dalam sistem pengangkutan awam sebagai usaha jangka panjang mengurangkan kebergantungan kepada bahan api diesel.
Selain itu, ujarnya, galakan terhadap penggunaan teknologi hijau dan tenaga alternatif seperti kenderaan elektrik perlu diperkasa bagi membina ekosistem ekonomi yang lebih mampan.
Jelasnya, langkah kerajaan dalam melaksanakan subsidi bersasar adalah pendekatan yang wajar bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan benar-benar memerlukan seperti petani, nelayan dan pengusaha logistik.
Dalam masa sama, katanya, pemantauan ketat perlu diperkukuhkan bagi membendung aktiviti pencatutan harga yang boleh membebankan pengguna.
Namun, tambah beliau, tanggungjawab menghadapi cabaran itu bukan terletak pada kerajaan semata-mata.
“Rakyat juga perlu memainkan peranan dengan mengamalkan gaya hidup lebih berhemah, merancang perbelanjaan secara bijak serta mengelakkan pembaziran.
“Sokongan terhadap produk tempatan dan amalan berkongsi kenderaan juga mampu mengurangkan tekanan kos dalam jangka panjang,” katanya.
Tambah beliau, kenaikan harga diesel adalah satu realiti yang menuntut pendekatan holistik dan kerjasama semua pihak.
Ujarnya, dengan dasar tepat, pemantauan berkesan serta kesedaran rakyat yang tinggi, cabaran tu boleh dijadikan peluang untuk membina ekonomi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.- MalaysiaGazette
















