JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan membentangkan pelan jangka pendek dan panjang bagi berdepan situasi semasa susulan konflik di Asia Barat termasuk kesannya terhadap sektor ekonomi dan pelaburan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, ia turut melibatkan impak terhadap peningkatan kos bahan mentah dan tenaga.
“Kerajaan negeri sedang meneliti secara menyeluruh kesan konflik di Asia Barat. Satu pembentangan khas akan diadakan bersama-sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, petang ini.
“Perbincangan ini antara lain bagi membincangkan situasi semasa serta pelan jangka pendek dan jangka panjang yang perlu diambil dengan mengambil kira kepentingan rakyat.
“Antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah kenaikan kos seperti diesel, simen, batu dan pasir yang memberi tekanan kepada sektor pembinaan, logistik serta rantaian ekonomi secara keseluruhan.
“Peningkatan kos ini akhirnya akan memberi kesan kepada hampir semua sektor ekonomi. Justeru, kerajaan negeri perlu merangka usaha khusus dan bersasar bagi membantu rakyat menghadapi situasi mencabar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Paragon Globe dan GSP Automotive Group di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Richard Zhou dan Pengerusi Eksekutif Paragon Globe Berhad, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng.
Ting Han berkata, antara langkah jangka pendek yang boleh diambil termasuk memperluaskan inisiatif bantuan seperti Program Kasih Johor dan Jualan Kasih Johor bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
Dalam masa sama, katanya, strategi jangka panjang perlu dirangka secara lebih komprehensif bersama-sama Kerajaan Persekutuan, khususnya melibatkan sektor pelaburan.
“Ketidaktentuan kos seperti tarif elektrik dan harga bahan mentah berpotensi menjejaskan minat pelabur, namun situasi konflik yang masih baharu itu tetap dalam pemantauan rapi kerajaan negeri.
“Walaupun terdapat cabaran, kita juga perlu melihat peluang untuk memposisikan Johor sebagai destinasi pelaburan yang stabil dengan kelebihan dari segi dasar, kestabilan politik serta lokasi yang jauh daripada kawasan konflik dan bencana alam,” katanya.
Menurutnya, Johor melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi menjadi hab utama bagi syarikat multinasional dalam sektor pusat data, logistik dan pembuatan.
Sehubungan itu, katanya, Menteri Besar Johor juga dijadual mengadakan lawatan rasmi ke China selama empat hari bermula Rabu ini bagi memperkukuh usaha menarik pelaburan asing.
“Lawatan ini melibatkan kunjungan ke Shanghai serta sesi kerjasama dengan lima institusi perbankan, selain pertemuan dengan 170 syarikat bagi mempromosikan peluang pelaburan di Johor.
“Pelbagai sesi penerangan dan perbincangan khas akan diadakan dengan syarikat-syarikat yang telah menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia, khususnya Johor,” tambahnya.
Beliau menambah, fokus kerajaan negeri ketika ini adalah mengimbangi antara menangani cabaran semasa dan memanfaatkan peluang yang wujud susulan perubahan landskap geopolitik global.
Ting Han turut menegaskan bahawa usaha menangani cabaran ekonomi akibat konflik global memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.- MalaysiaGazette
















