Seorang kakitangan LPP didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 16 pertuduhan dengan curang menggunakan harta milik PPK Kota Tinggi Timur

JOHOR BAHRU – Seorang kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 16 pertuduhan dengan curang menggunakan harta milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur sebanyak RM141,872.67, sejak lima tahun lalu.

Muhammad Faiz Ibrahim, 36, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, dia yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi dan Pengurus Ladang PPK Kota Tinggi Timur didakwa dengan curangnya menjadikan bagi kegunaan sendiri, hasil penjualan Buah Tandan Segar (BTS) Sawit keseluruhannya bernilai RM141,872.67 kepunyaan PPK Kota Tinggi Timur.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur, Pusat Kemajuan Peladang, Mawai Baru, Kota Tinggi, antara 26 April 2021 hingga 15 November 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah bagi 16 pertuduhan pilihan melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan harta yang diamanahkan kepadanya iaitu BTS sawit yang keseluruhannya berjumlah RM141,872.67 milik pertubuhan itu untuk kegunaan sendiri dengan menjual buah berkenaan dan memasukkan hasil jualan ke dalam akaun miliknya.

Bagi perbuatan yang dilakukan di lokasi dan waktu yang sama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling menawarkan jaminan sebanyak RM25,000, namun dibantah peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili tertuduh.

Menurut Asiah, anak guamnya sudah berkhidmat dengan LPP sejak 2011 dengan pendapatan terkini RM4,000 sebulan.

Katanya, walaupun belum berkahwin, tertuduh perlu menanggung ibu dan bapanya yang merupakan pesara Felda.

“Tertuduh adalah anak keenam daripada tujuh beradik dan kakaknya hadir untuk menjadi penjamin. Tertuduh bersedia dengan jaminan sebanyak RM10,000 sahaja.

“Anak guam saya sentiasa memberi kerjasama sejak kes ini disiasat SPRM dan dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana menetap di Kulai,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 30 April depan bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast