KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengenakan hukuman maksimum tanpa kompromi terhadap pemandu mabuk hingga menyebabkan kematian, termasuk penjara mandatori yang panjang dan larangan memandu seumur hidup.
Ini kerana, mereka yang terlibat dalam insiden seumpama itu boleh diibaratkan sebagai `pembunuh jalanan’, kata Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Azrol Mansor.
Menurutnya, kejadian terbaharu melibatkan pemandu mabuk yang meragut nyawa orang awam tidak lagi boleh dianggap sebagai kemalangan biasa, sebaliknya merupakan jenayah berat yang dilakukan secara sedar oleh pelaku yang mempertaruhkan nyawa orang lain.
“Sebarang hukuman ringan terhadap pesalah bukan sahaja menghina mangsa dan keluarga mereka, malah mencerminkan kegagalan sistem keadilan dalam melindungi rakyat.
“Perkasa menuntut pindaan undang-undang segera bagi mengklasifikasikan kes kematian akibat pemanduan mabuk sebagai kesalahan setaraf jenayah berat, selain memperketatkan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya secara besar-besaran tanpa notis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau menegaskan tanggungjawab moral dan undang-undang juga perlu dipertimbangkan terhadap premis yang menyumbang kepada kejadian sekiranya wujud unsur kecuaian.
Pada masa sama, Perkasa memberi amaran bahawa kejadian seumpama itu akan terus berulang dan kegagalan kerajaan bertindak tegas boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
“Nyawa rakyat tidak boleh terus menjadi korban kepada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.
“Sudah tiba masanya tindakan drastik diambil, bukan sekadar retorik tetapi pelaksanaan yang nyata dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette
















