KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan digesa untuk melaksanakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (Pindaan 2020) sepenuhnya bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah (DUI) khususnya melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45.
Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional, Neow Choo Seong berkata, langkah tegas itu perlu bagi menghantar isyarat jelas kepada bakal pesalah selain mengelakkan tanggapan negatif kononnya undang-undang negara bersifat berat sebelah.
“Pelaksanaan Akta 333 secara konsisten bukan sahaja mampu mengurangkan angka kematian di jalan raya malah membuktikan kerajaan benar-benar menitikberatkan keselamatan nyawa rakyat.
“Keadilan mesti ditegakkan bagi memberi iktibar dan kesedaran kepada orang ramai.
“Hukuman berat mesti menanti mereka yang masih berdegil memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Choo Seong yang juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda MCA berkata, statistik sangat membimbangkan dengan angka kematian mencatat 41 kematian direkodkan.
“Itu semua akibat pemanduan DUI bagi tempoh 2022 sehingga Jun 2025 dan ia tidak termasuk kerosakan harta benda yang lain.
“Satu lagi nyawa maut akibat dirempuh pemandu yang positif dadah dan alkohol. Semoga keluarga Allahyarham beroleh keadilan yang sewajarnya,” ujarnya.
Choo Seong turut mendesak agar kempen kesedaran awam terus diperkasakan termasuklah menggalakkan penggunaan perkhidmatan e-hailing bagi mereka yang mengambil minuman beralkohol.
“Pendekatan menyeluruh antara penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan pendidikan masyarakat adalah kunci utama bagi menamatkan pembunuhan di jalan raya.
“Isyarat yang jelas perlu dihantar agar mereka berfikir dua kali sebelum memegang stereng dalam keadaan mabuk. Nyawa pengguna jalan raya lain tidak harus menjadi galang ganti akibat kecuaian individu lain,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki maut selepas dirempuh pemandu kereta yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang semalam.
Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 20-an dari arah Jalan Raya barat menghala ke bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
Akibat pelanggaran tersebut mangsa seorang lelaki berusia 30-an telah tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian..
Hasil ujian saringan mendapati pemandu kenderaan berkenaan positif alkohol dan dadah.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di Bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Insiden ini sekali lagi mencetuskan kemarahan netizen di media sosial yang rata-ratanya menuntut pindaan undang-undang yang lebih drastik bagi menamatkan ‘pembunuhan’ di jalan raya oleh pemandu mabuk. – MalaysiaGazette
















