Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menawarkan khidmat guaman secara sukarela bagi membantu keluarga penunggang motosikal yang maut dipercayai dirempuh pemandu mabuk, sekali gus menuntut keadilan buat mangsa melalui saluran undang-undang.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddeen menegaskan komitmen pihaknya untuk memastikan keluarga mangsa tidak dibiarkan berjuang sendirian dalam kes itu.

“Dewan Pemuda Pas Malaysia sedia tawarkan khidmat guaman secara sukarela kepada keluarga mangsa pemandu mabuk untuk tuntutan undang-undang yang seadilnya!” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menurut beliau, insiden berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa orang awam yang tidak bersalah akibat kecuaian pemandu.

Beliau turut menuntut tindakan lebih tegas diambil bagi menamatkan tragedi pemandu mabuk yang terus meragut nyawa di jalan raya.

“Kematian mangsa mesti dibela!

“Kes pemandu mabuk yang melanggar dan membunuh nyawa yang tak berdosa mesti dinoktahkan segera!” katanya.

Tambahnya, tragedi itu amat memilukan apabila isteri dan anak mangsa kini kehilangan suami serta ayah akibat kecuaian individu yang memandu secara berbahaya.

“Isteri dan anak hilang suami dan ayah mereka kerana tindakan bodoh seorang pemabuk yang memandu kenderaan secara merbahaya,” ujarnya sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Semalam, Amirul Hafiz Omar maut selepas dipercayai dirempuh seorang pemandu mabuk dalam satu kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata siasatan mendapati, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta kira-kira itu berlaku kira-kira jam 11.40 pagi.

Siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 20an dari arah Jalan Raya Barat menghala ke bandar Klang dipandu dalam keadaan laju dan berbahaya.

Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit dipercayai memotong beberapa kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dari arah bertentangan.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jit Huey berkata, hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast