Khairil Nizam Khirudin. Foto AIZAT ZAINAL, 06 OGOS 2025.
Khairil Nizam Khirudin. Foto AIZAT ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak lagi boleh berkompromi sebaliknya mengenakan hukuman paling berat termasuk menyenarai hitam seumur hidup terhadap pemandu mabuk susulan insiden kemalangan yang mengorbankan nyawa.

Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan tegas itu perlu bagi membendung ancaman nyata terhadap nyawa rakyat yang tidak berdosa akibat kecuaian pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Tegas beliau, kerajaan perlu memperkasa pelaksanaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya Seksyen 44 dan 45A dengan mengenakan hukuman yang lebih keras kepada pesalah pemandu mabuk.

“Tidak perlu lagi sekadar menggantung lesen, pesalah wajar terus disenaraihitamkan seumur hidup daripada memandu.

“Hukuman penjara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 mesti dilaksanakan secara konsisten dan tegas kerana dalam soal nyawa rakyat, tiada ruang untuk kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook perlu segera mengambil tindakan drastik bagi memastikan keadilan ditegakkan buat mangsa dan keluarga mereka.

“Keadilan mesti ditegakkan.

“Anthony Loke, do something!” katanya.

Dalam pada itu, Khairil Nizam turut merujuk kejadian kemalangan disebabkan pemandu mabuk melibatkan mangsa, Allahyarham Amirul Hafiz yang dilaporkan maut ketika dalam perjalanan keluar mencari rezeki untuk isteri dan anak-anaknya semalam.

“Satu lagi nyawa melayang. Satu lagi keluarga hancur.

“Arwah bukan keluar untuk berseronok atau berlumba, tetapi mencari rezeki buat keluarga.

“Namun dalam sekelip mata, semuanya direntap oleh kecuaian individu lain,” katanya.

Beliau berkata, pemandu di bawah pengaruh alkohol bukan sekadar melanggar undang-undang, mereka adalah ancaman nyata kepada nyawa orang lain.

“Berapa ramai lagi perlu terkorban dan berapa banyak lagi keluarga perlu menangis?” soalnya.

Terdahulu, seorang lelaki maut selepas dirempuh pemandu kereta yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang semalam.

Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 20-an dari arah Jalan Raya barat menghala ke bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

Akibat pelanggaran tersebut mangsa seorang lelaki berusia 30-an telah tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian..

Hasil ujian saringan mendapati pemandu kenderaan berkenaan positif alkohol dan dadah.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di Bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Insiden ini sekali lagi mencetuskan kemarahan netizen di media sosial yang rata-ratanya menuntut pindaan undang-undang yang lebih drastik bagi menamatkan ‘pembunuhan’ di jalan raya oleh pemandu mabuk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast