SMK Bukit Jambul mencatatkan gred purata terbaik negeri iaitu 1.68 berbanding 1.75 pada tahun sebelumnya.

GEORGE TOWN – Seramai 725 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pulau Pinang mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh semua A dalam peperiksaan itu tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, daripada jumlah itu calon yang memperoleh semua A+ iaitu cemerlang tertinggi ialah seramai 25 orang.

Katanya, seramai 16,545 daripada 17,933 calon yang hadir menduduki SPM 2025 layak menerima sijil, manakala 30 sekolah di negeri ini mencatatkan kelulusan 100 peratus dengan semua calon layak menerima sijil.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,710 calon memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam peperiksaan SPM 2025 berbanding 2,478 pada tahun 2024.

“Walaupun ada berlaku sedikit penurunan sebanyak 1.41 peratus berbanding 93.67 peratus pada tahun 2024, namun dari segi jumlah calon layak sijil menunjukkan peningkatan.

Mohamad Dziauddin.

“Selain itu, gred purata negeri (GPN) bagi tahun ini adalah 4.39 iaitu kekal sama seperti tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan SPM 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri di sini, hari ini.

Tambah beliau, seramai 69 calon berkeperluan pendidikan khas turut menduduki peperiksaan itu dengan 11 daripadanya memperoleh sekurang-kurangnya 6A.

“Antaranya tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Heng Ee, SMK Pendidikan Khas Bumbong Lim (2) dan masing-masing seorang dari SMK Tun Syed Sheh Barakbah serta SMA Al Maahadul Islami, Tasek Junjung.

“Sementara itu, SMK Bukit Jambul mencatatkan gred purata terbaik negeri iaitu 1.68 berbanding 1.75 pada tahun sebelumnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast