Seorang lelaki gelandangan diiring anggota PDRM dibawa ke mahkamah atas pendakwaan membunuh, ketika Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 31 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Seorang gelandangan warga India didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di Taman Sri Sinar, Kepong, dua minggu lalu.

Tertuduh, S. Thangaraju, 53, hanya mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh mangsa yang merupakan lelaki warga India berusia 60 tahun yang juga gelandangan.

Kesalahan itu dilakukan di kaki lima, lorong jalan belakang bangunan sebuah premis di Jalan Lang Kuning, Taman Sri Sinar, Kepong, jam 11.33 malam hingga 11.47 malam pada 17 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan semula kes pada 10 Jun ini untuk laporan patalogi dan bedah siasat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast