Seorang jurutadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang warga emas

JOHOR BAHRU – Seorang jurutadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki untuk menyerahkan cek dan wang tunai berjumlah RM62,760 bagi mempercepatkan permohonan pembinaan bangunan dua tingkat di Rimba Terjun, Pontian, sejak lima tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazri Abu Bakar, 38, yang bertugas di Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) membuat pengakuan tersebut yang melibatkan lima pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kesemua pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 72 tahun untuk menyerahkan tiga keping cek dan wang tunai berjumlah keseluruhan RM62,760.

Perbuatan itu untuk mendorong mangsa percaya bahawa tertuduh boleh membuat dan menguruskan permohonan untuk membina bangunan dua tingkat di Mukim Rimba Terjun, Pontian sedangkan tidak dilakukan tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Muhammad Nazri di sebuah premis di Batu 36, Jalan Johor, Pontian antara 19 November 2021 hingga 30 Mei 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Faizul Kamarulzaman yang mengendalikan kes menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Peguam Mazri Muhammad yang mewakili Muhammad Nazri memohon mahkamah membenarkan jaminan yang minimum memandangkan tertuduh menanggung isteri dan empat orang anak termasuk seorang anak autisme.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast