TANGKAK – Hasrat seorang pemuda untuk menambah pendapatan berkecai apabila diperdaya sindiket penipuan tawaran kerja atas talian yang tidak wujud sehingga wang simpanan RM118,287 lesap.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, semuanya bermula apabila mangsa yang berusia 35 tahun tertarik dengan satu tawaran kerja dalam laman web Shepintuan pada 22 Mac lalu.
“Mangsa ditawarkan untuk melakukan beberapa tugasan dan dijanjikan akan dibayar komisyen setelah melaksanakan tugasan mempromosikan barangan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek berjaya meyakinkan mangsa sebelum lelaki berkenaan melakukan 12 transaksi ke dalam lima akaun berbeza bermula 24 hingga 30 Mac lalu melibatkan RM118,287.80.
“Setelah mangsa melaksanakan arahan yang diberikan oleh suspek, mangsa yang berniaga sendiri tidak mendapat komisyen seperti yang dijanjikan,” katanya.
Mangsa katanya, menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis semalam dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh disebat dan didenda.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan komisyen dengan cara mudah dalam masa singkat.
Orang ramai juga katanya, diingatkan agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan atau ‘scam’.
“Orang ramai harus sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan ‘scam’ melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok,” ujarnya.
Tambahnya, jika sudah menjadi mangsa ‘scam’, sila hubungi National Scam Reponse Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek.- MalaysiaGazette
















