Muhammad Darwisy bersama-sama bapa dan ibu ketika mendapatkan keputusan SPM di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor Kluang, Kluang, hari ini

JOHOR BAHRU – Muhammad Darwisy Hafiy Joha, 18, tidak pernah berputus asa untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 walaupun diuji dengan penyakit berat.

Dia yang tinggal di Taman Setia Tropika di sini berkata, sakit dihidapinya tidak pernah menjadi penghalang atau melunturkan semangatnya untuk berjuang sehingga mencapai keputusan 11A dalam SPM 2025.

“Saya menjalani pembedahan ketika di tingkatan empat hingga terpaksa bercuti sakit bagi tempoh selama lapan bulan. Saya menjalani pembedahan skoliosis atau tulang belakang,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Darwisy memperoleh A+ dalam mata pelajaran Inggeris, Sejarah, Matematik, Usul Al-Din, Al-Syariah dan Al-Lughah Al -Arabiah Al-Muasirah.

Sementara A bagi matapelajaran Bahasa Melayu, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi serta Kimia.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor Kluang itu segera bangkit dan terus berusaha menguasai ilmu yang ketinggalan terutama dengan bantuan guru, rakan sekolah dan keluarga.

Muhammad Darwisy yang menghidapi penyakit genetik itu juga menghadapi cabaran apabila kembali ke asrama bagi meneruskan persekolahannya kerana perlu mengurus diri tanpa bantuan ahli keluarga.

“Pergerakan saya ketika itu memang agak terbantut namun saya tidak putus asa dan terus menyahut cabaran memperbaiki kelemahan terutama dalam subjek Sains tulen dan Matematik Tambahan.

“Saya kerap mengulang kaji bersama-sama rakan yang gemar membantu dalam pelajaran serta mendapatkan tip cara mereka menguasai sesuatu topik yang sukar.

“Alhamdullilah kesemua mereka tidak kedekut ilmu dan saya juga meluangkan masa hampir lima jam sehari pada waktu petang untuk mengulangkaji pelajaran,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Dia bersyukur kerana dapat menghadiahkan keputusan cemerlang itu kepada ibu bapanya iaitu Joha Mohamad Yusoff, 51 dan Junainah Rahmat, 51.

“Tidak sangka saya memperoleh keputusan 11A pada hari ini termasuk 6A+ dan 5A. Keputusan 11A bukan sekadar angka tetapi hasil usaha saya untuk menguasai kesemua subjek yang ketinggalan selepas pembedahan,” katanya.

Dia juga bersyukur dapat mengekalkan kecemerlangan abang sulung yang memperoleh keputusan 8A dan kakaknya memperoleh keputusan 9A sebelum ini.

“Saya bercita-cita untuk bergelar sebagai doktor termasuk memasang impian untuk membantu pesakit.

“Saya syukur kerana sembuh sepenuhnya daripada skoliosis dan berharap diberikan kesihatan baik bagi melanjutkan pengajian,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast