JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan dua beradik lelaki berusia 11 dan 12 tahun yang dilaporkan hilang oleh ibu mereka sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya memerlukan bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak berkenaan iaitu Syamir Zikri Abdullah dan Aiman Haikal Kuzainai.
“Kedua-duanya berbangsa Melayu dan beralamat di nombor 1826, Jalan Mata Kucing 1, Kampung Pasir, Tampoi, 81200, Johor Bahru.
“Bentuk fizikal Syamir Zikri mempunyai ketinggian 91 sentimeter, berat 30 kilogram, kurus, berambut lurus dan pendek hitam. Pakaian terakhir dilihat berbaju hijau pekat berbelang hitam dan seluar tracksuit hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Aiman Haikal pula mempunyai ketinggian 90 sentimeter dengan berat 30 kilogram, badan berisi, berkulit cerah, berambut lurus pendek hitam serta kali terakhir dilihat berbaju hijau seluar pendek putih oren.
Radin Ramlan memberitahu, kali terakhir kedua-dua kanak-kanak tersebut dilihat pada pukul 12 tengah hari Jumaat lalu di rumah terbabit.
Beliau meminta orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat atau mengenal pasti lokasi kanak-kanak tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mun Nyanggau 019-2574051.
Tambahnya, mereka juga boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5561222 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette
















