KUALA LUMPUR – Seramai 25 lagi ‘ulat foto’ atau jurugambar haram ditahan polis dalam operasi khas yang dilaksanakan di Persiaran Menara Berkembar PETRONAS di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua tangkapan berusia antara 16 hingga 48 tahun menerusi operasi bermula pukul 10 malam hingga 1 pagi tadi.
“25 tangkapan itu terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita dari Sabah serta seorang lelaki dari Filipina, kesemua mereka kini telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih diteruskan dibawah Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 dan Seksyen 148/324 Kanun Keseksaan yang bersangkut dengan kes rusuhan dilaporkan sebelum ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, semakan mendapati mereka tiada pekerjaan lain dan menjadi ‘ulat foto’ sepenuh masa dengan mengambil gambar di kawasan strategik sebagai sumber pendapatan utama.
“Hasil siasatan mendapati, mereka bergerak secara kumpulan tanpa ketua dan masing-masing akan menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menarik pelanggan bagi bergambar.
“Antara lokasi utama melibatkan Jambatan Saloma yang menghubungkan Kampung Baru dan KLCC serta di persekitaran Persiaran Menara Berkembar Petronas,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya, siasatan turut mendapati terdapat individu dalam tangkapan terdahulu menggunakan kad pengenalan meragukan yang tidak sepadan dengan cap jari.
“Semakan dilakukan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati kad pengenalan itu tidak sepadan dengan cap jari pemegangnya, sekali gus menunjukkan mereka bukan warganegara.
“Bagi tangkapan terbaru, semakan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama pihak JPN kerana kita meragui ketulenan dokumen pengenalan diri milik semua suspek,” katanya.

Tegas beliau, pihak polis akan meneruskan operasi serta pemantauan di kawasan tumpuan pelancong bagi membanteras kegiatan berkenaan serta menjaga keselamatan pengguna.
“Polis akan terus menjalankan operasi bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong kekal selamat dan bebas dari kegiatan jenayah, selain menempatkan polis pelancong bagi pemantauan.
“Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan termasuklah kegiatan ulat foto sebegini,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 18 ‘ulat foto’ ditahan disyaki menyerang seorang lelaki tempatan dan pelancong warga India di Persiaran Menara Berkembar PETRONAS pada 22 Mac lalu.
Mengenai perkara itu, Sazalee berkata, hasil siasatan terhadap tangkapan dahulu, dua individu dikenal pasti mempunyai kaitan dalam kes serangan dan telah dituduh di mahkamah.
“Dua individu terbabit berusia 24 dan 35 tahun dituduh masing-masing mengikut Seksyen 149 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan masing-masing dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000,” katanya.
Tambah beliau, siasatan turut mendapati tiga individu dikesan menggunakan kad pengenalan meragukan yang tidak sepadan dengan cap jari.
“Tiga individu itu didapati tidak mempunyai dokumen sah dan menggunakan kad pengenalan yang tidak dikesan dalam rekod JPN.
“Kesemua mereka berusia 46 hingga 48 tahun telah dituduh hari ini di mahkamah mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















